PARTI Keadilan Rakyat (PKR) dinasihatkan supaya tidak berbalas kenyataan dan melemparkan tuduhan sesama sendiri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung parti itu berkata, semua ahli perlu berhenti dan berusaha meredakan kepanasan parti itu dengan hanya menyuarakan pandangan melalui saluran dalaman parti sahaja.

“Sebagai orang lama parti, sejak penubuhan Keadilan pada tahun 1999, parti ini telah melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh berkenaan dan percaya kemelut yang berlaku sekarang boleh diselesaikan.

“Semua pihak perlu menggunakan saluran dalaman untuk menyuarakan sebarang isu.

“Masalah boleh diredakan jika semua pihak menggunakan platform disediakan di peringkat parti untuk merungkai semua isu berbangkit.

“Bukan membuat kenyataan secara terbuka dan tidak membawa kepada apa-apa penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, ahli parti boleh mengadakan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian parti yang lebih baik.

“Berbincang secara terus terang dalam parti lebih baik dalam menyelesaikan kemelut, apa lagi jika melemparkan tuduhan ketika polis masih menjalankan siasatan,” katanya.

Tambahnya, kita sedia maklum siasatan polis masih berjalan dan kita juga terima kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang dikatakan watak dalam video itu sebenarnya bukan individu yang didakwa.

“Itu cara kita meredakan suhu tinggi.

“Selain itu, seseorang ahli parti sudah tahu parti ada peraturan dan perlembagaan, jadi ahli parti perlu patuh terhadap peraturan itu,” katanya. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.