BARU beberapa jam dibebaskan, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sudah lantang mempersoalkan tahanan reman yang dikenakan terhadapnya.

Beliau mempertikaikan tindakan polis mengenakan reman yang sepatutnya hanya mengambil keterangan sahaja berkaitan kes video intim yang didakwa melibatkan seorang menteri kabinet.

Selain itu, Farhash berkata, polis tidak perlu menangkapnya seperti seorang pembunuh.

“Tiada laporan polis dibuat terhadap saya jadi mengapa saya ditahan dan cuba mengenakan hukuman paling tinggi.

“Ketika ditahan, ada polis yang hairan mengapa saya ditahan dan bukannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Farhash, terdapat konspirasi politik untuk menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di samping itu, beliau turut menyoalkan kredibiliti Ketua Polis Negara yang sepatutnya menahan Azmin untuk disoal siasat bukan bertindak sebaliknya.

Farhash dibebaskan kira-kira pukul 3.45 petang tadi, diikuti oleh bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dibebaskan kira-kira pukul 3.58 petang.

Sementara itu, peguam kepada Haziq, Kenzin Goik berkata, polis perlu bertindak secara profesional dalam siasatan ini.

“Kita juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak polis jika diperlukan selepas ini,” katanya. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.