PIHAK polis hari ini membebaskan Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Haziq ditahan pada 14 Julai manakala Farhash ditahan pada 16 Julai. Turut ditahan beberapa individu lain.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Haziq adalah individu yang mengaku dirinya mengadakan hubungan sejenis dengan lelaki didakwanya Azmin.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR menafikan beliau terlibat dalam aksi tersebut dan mendakwa ia adalah rancangan pihak tertentu yang mahu membunuh kerjaya politiknya.

Perintah reman terhadap mereka ialah di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 377B Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.

Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Tumpuan pihak polis sekarang ini ialah memastikan dalang di sebalik penyebaran video seks ini.

Sebelum ini polis telah mengesahkan bahawa video tersebut adalah tulen, tetapi wajah pelakunya tidak dipastikan 100 peratus.

Azmin mendakwa mengetahui dalang di sebalik penularan video itu namun menyatakan bukan bidang kuasanya untuk membuat pendedahan.

Azmin menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan.

Penularan video ini menyebabkan perbalahan terbuka dalam PKR antara kem Anwar dan Azmin. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.