PENGANALISIS politik, Md Shukri Shuib menggesa semua pihak berhenti menggunakan istilah “Bakal Perdana Menteri ke-8” terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor Sinar Harian.

“Penggunaan istilah tersebut tidak sepatutnya digunakan, bukan sahaja oleh Anwar malah mana-mana individu selagi Tun Dr Mahathir masih menyandang jawatan itu,” katanya.

Menurutnya lagi, tidak mustahil istilah itu antara pencetus konflik parti. Malah ketaksuban itu juga dibimbangi menggugat kestabilan negara, institusi dan kerajaan.

Shukri berharap istilah itu dihentikan penggunaannya sama ada dalam negara mahupun antarabangsa, sebaliknya mepupuk semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan fokus membina negara yang kukuh.

Selain itu Shukri berpendapat bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu lebih sesuai menyandang jawatan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding Presiden parti.

Hal ini kerana peranan Anwar ketika menjadi Ketua Umum dilihat lebih berwibawa berbanding setelah memegang kuasa nombor satu parti itu.

“Anwar perlu kembali sebagai Ketua Umum demi menyatukan semula PKR dengan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada pemimpin baharu yang boleh membina semula pengukuhan parti,” katanya.

Md Shukri berkata, kepimpinan Anwar mulai pudar akibat pergolakan dalaman parti sejak beliau mengambil alih jawatan Presiden.

Kini PKR dilihat berpecah kepada kelompok yang bersaing sesama sendiri, malah Anwar kelihatan cenderung kepada pembentukan kumpulan tersendiri.

Konflik terbaharu antara Anwar dan Azmin adalah cerminan perpecahan yang semakin parah dalam PKR.

Apabila matlamat terlalu difokuskan kepada merebut jawatan PM, maka tanggungjawab hakiki untuk membela rakyat mula terabai.

Malah, ada yang sanggup memijak kawan yang pernah membantu suatu masa dahulu demi memenuhi cita-cita peribadi. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.