LEPAS khabar angin mengatakan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Shahruddin Jamal naik angin pada satu majlis di negeri itu baru-baru ini, ada pula dakwaan mengatakan bekas Menteri Besar juga naik angin.

Kali ini, Datuk Osman Sapian didakwa melenting kerana ditegur merokok dalam sebuah restoran.

Menurut laporan Facebook Ops Johor, kejadian itu berlaku malam kelmarin di Restoran Yassin berdekatan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Jelas laporan itu, seorang pekerja kedai menegur Osman kerana tindakannya itu seolah-olah tidak menghormati pelanggan yang lain yang sedang menjamu selera.

Turut berada di restoran itu Che Zakaria, Adun Permas, Rasman Ithnain, Adun Sedili dan pegawai-pegawainya.

Difahamkan mereka baru balik dari perjumpaan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata Ops Johor, keadaan menjadi tegang apabila disebabkan teguran itu, Osman melenting kepada pelayan tersebut.

““Awak tak kenal saya ke? Saya bekas MB tau!” kata Ops Johor dipercayai memetik kata-kata Osman.

Semalam, Ops Johor melaporkan Shahruddin naik angin semasa perjumpaan dengan semua ketua ketua Kampung di negeri itu tempoh hari.

Menurut laporan itu, beliau ditegur kerana datang lewat sejam jam dan tiba-tiba naik angin dan berucap secara emosi.

Dakwa laporan itu, Dr Shahrudin juga mengatakan bahawa beliau bukan hendak sangat jadi menteri besar dan ebih selesa menjaga tiga klinik di Pagoh. – 23 Julai 2019.