DEWAN Pemuda PAS (DPPM) menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi menangai penjualan gula-gula Ghost Smoke terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Penerangan DPPM, Abdul Malik Ab Bakar berkata langkah itu penting bagi membanteras perkembangan budaya merokok era milenia ini seperti vape dan pelbagai bahan asap yang lain.

Beliau membangkitkan isu itu susulan satu rakaman video di Facebook yang menunjukkan kanak-kanak sekolah menghisap gula-gula itu, dipercayai berlaku di Sekolah Kebangsaan Pekan Papar, Sabah.

“Gula-gula ini dijual dengan harga semurah RM0.50 di sekitar Papar dan berleluasa di daerah lain termasuk Kota Kinabalu

“Penjualan gula-gula ini bukan sahaja di kawasan di sekitar tetapi turut dijual di atas talian dengan harga RM10 sekotak.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan segera yang konstruktif kerana pasti ianya mudah untuk diperolehi di era gajet hari ini,” katanya.

Abdul Malik turut melahirkan kebimbangannya dan khuatir lebih ramai kanak-kanak seawal tujuh-lapan tahun terjebak dalam fenomena ini.

Jelasnya, perkara itu juga akan menambah kesan negatif kepada gejala sosial yang telah sedia wujud di negara ini dan merosakkan generasi muda kini.

“Ini disebabkan kanak-kanak yang menyukai jenis gula-gula tersebut lama-kelamaan akan mulai ketagih.

“Berkemungkinan besar kelak, mereka akan menjadi perokok atau pengguna vape apabila menjadi dewasa,” katanya.

Abdul Malik berkata kerajaan perlu serius menangani gejala itu sama seperti usaha mereka meminda Perlembagaan bagi melayakkan anak muda sebagai pengundi pada usia 18 tahun.

“Keseriusan pihak kerajaan meminda Perlembagaan bagi melayakkan anak muda sebagai pengundi pada usia 18 tahun perlulah seiring dengan komitmen besar dengan memelihara kesejahteraan warga muda.

“(Antara langkah) yang boleh diusahakan adalah membanteras gejala sosial melalui pendidikan Islam dan moral,” katanya. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.