KETUA Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah membidas Husam Musa kerana mengatakan kerajaan negeri Kelantan “syok sendiri”, lapor Malaysiakini.

Hal ini kerana Husam sendiri antara orang yang bertanggungjawab merangka dan melaksanakan dasar kerajaan negeri yang kini dikritiknya.

Sebaik sahaja PAS menang di Kelantan pada tahun 1990 dasar Membangun Bersama Islam diletakkan sebagai asas dalam pentadbiran negeri.

“Adakah ciri-ciri Islam Kelantan ini hilang hanya kerana Husam tiada lagi dalam kerajaan Kelantan?” soalnya.

Mohd Ariff mempertahankan bahawa antara ciri-ciri Islam di Kelantan temasuklah tiada lagi premis judi di Kelantan, kedai arak tidak lagi berleluasa, tiada lagi kelab malam, pengenalan sistem pajak gadai Islam.

Bahkan, Kelantan menjadikan cuti hujung minggu Jumaat sebagai hari menimba ilmu.

Mohd Ariff menambah Husam juga mungkin tidak lagi menyedari bahawa Kelantan yang diperintah PAS bersih daripada kes rasuah dan penyelewengan.

“Kesalahan dan ketelanjuran perlakuan sebilangan individu tidak boleh dibuat kesimpulan kepada keadaan keseluruhan perlakuan rakyat Kelantan,” jelasnya.

Katanya, selama 29 tahun dasar Membangun Bersama Islam, lebih 100 pembaharuan diperkenalkan oleh Kelantan yang suatu ketika dahulu dibanggakan sendiri oleh Husam.

Kelantan berjaya mendidik rakyat negeri itu meletakkan nilai halal dan haram – atau dosa dan pahala dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Mohd Ariff, menggesa Naib Presiden Amanah itu bermuhasabah dan melihat apa yang dilakukan oleh partinya untuk Islam setelah mendapat kuasa di Putrajaya.

“Yang kita tahu, masa hadapan Islam, bumiputera dan umat Islam semakin terancam sejak PH memerintah negara lebih setahun lalu.

Sebelum ini Husam yang juga bekas exco kanan Kelantan membangkitkan persoalan mengenai asas apa yang dirujuk untuk membuat PAS yakin bahawa negeri itu Islamik.

Husam mempertikai istilah islamik dan mengaitkan dengan kewujudan pelombongan haram, pembalakan berleluasa, anak syarikat kerajaan negeri yang rugi serta bandar-bandar di Kelantan yang dikaitkan dengan kekotoran. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.