NEGARA perlu memastikan perbelanjaan swasta kekal stabil bagi mengelakkan Malaysia tidak terjerumus dalam kemelesetan ekonomi global yang dijangka berlaku tahun depan.

Alan Tan Chew Leong, Pengarah dan Ketua Penyelidik/Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Hwang Capital) berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan unjuran 70 peratus ekonomi global perlahan tahun ini.

“Malaysia perlu merancakkan perbelanjaan infrastruktur, menyokong dan merangsang permintaan domestik di samping memastikan perbelanjaan swasta kekal stabil.

“Ia adalah penting bagi memastikan negara tidak terjebak dalam kemelesetan ekonomi global kerana perkara itu adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Chew Leong memberitahu langkah itu penting berikutan dengan ancaman Donald Trump mengenakan tarif pusingan kedua ke atas import China bernilai AS$300 billion.

“Dunia akan mengalami kemelesetan ekonomi sekiranya ekonomi global berkembang kurang daripada tiga peratus dan ia bergantung kepada senario semasa.

““Apabila Trump mengenakan tarif 25 peratus ke atas import China bernilai AS$250 pada pusingan pertama sebelum ini, kita melihat kesannya berkait.

“Kesannya bukan terhadap pertumbuhan ekonomi China sahaja yang melihat menguncup, tetapi ia juga kepada ekonomi lain, termasuklah Singapura.

“Bank pusat di negara maju juga menjangka (kemelesetan ekonomi), lalu kadar faedah direndahkan, bukan saja oleh Rizab Persekutuan (Fed) dan Bank Pusat Eropah (ECB), tetapi juga oleh bank pusat lain termasuk negara jiran seperti Indonesia,” katanya.

Jelas Chew Leong, April lalu, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan global 2019 sebanyak 0.2 mata peratusan kepada 3.3 peratus, tetapi kemudiannya unjurannya meningkat sedikit kepada 3.6 peratus menjelang tahun 2020.

“Bank Dunia pula mengambil pendekatan lebih konservatif mengunjurkan ekonomi global berkembang pada kadar 2.6 peratus tahun ini dan 2.7 peratus tahun depan.

“Affin Hwang Capital mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.5 peratus tahun ini berbanding 4.3 hingga 4.8 peratus (Bank Negara Malaysia) dan 4.9 peratus (Kementerian Kewangan),” katanya.

Chew Leong turut menambah, defisit fiskal negara diunjurkan berkisar antara 3.2 hingga 3.4 peratus pada 2020, sekiranya kerajaan memperkenalkan belanjawan 2020 yang lebih mesra perniagaan dan pelanggan.

“Belanjawan mungkin termasuk dalam inisiatif bagi menyokong penggunaan swasta dan strategi yang dapat mendorong pelaburan.

“Satu daripada cadangan saya ialah melihat kemungkinan potongan cukai pendapatan korporat,” katanya. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.