TIMBALAN Pengerusi 2, Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dalam suatu kenyataan menolak pengenalan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Sejak diperkenal pada 2003 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, PAS konsisten menolak dasar berkenaan.

Namun pada masa yang sama PAS tidak bermaksud mengenepikan pembelajaran Bahasa Inggeris.

“Perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkenaan ialah bagaimana mewujudkan suasana minat belajar serta penggunaan kaedah yang sesuai bagi menerapkan kefahaman mendalam ke atas subjek matematik dan sains,” kata Dr Ahmad.

Kenyataan Mahathir mengenai pengenalan semula dasar PPSMI telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan para ilmuwan bahasa, sebilangan besar pendidik serta pejuang bahasa yang cintakan bahasa ibunda.

Meskipun Perdana Menteri menggunakan terma ‘sistem baharu teknologi maklumat’, namun pencinta bahasa tidak dapat membendung kegusaran mereka mengenai kesan langsung ke atas para pelajar.

Malah mereka turut gusar tentang penurunan tahap penguasaan mata pelajaran matematik dan sains, hilang minat belajar serta wujud jurang besar di antara pelajar bandar dan luar bandar.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mengulangi kesilapan dengan mengemukakan semula dasar PPSMI yang telahpun dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012.

“PH hendaklah bekerja keras memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran matematik sains dalam bidang pendidikan,” tegas Dr Ahmad.

Dr Ahmad mencadangkan supaya satu sekretariat penterjemahan bahasa atau perkataan sains dan matematik di peringkat nasional untuk melicinkan proses penterjemahan.

Selain itu turut dicadangkan pengumpulan tenaga pakar bahasa sains setiap bidang seperti sains kejuruteraan, kesihatan, biologi, fizik dan lain-lain bagi mendapatkan input penterjemahan yang tepat tentang maksud satu-satu perkataan menerusi penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Seterusnya memperteguh keilmuan bahasa ke atas guru-guru berkenaan serta pendedahan teknik pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik secara holistik.

Terakhirnya, memupuk minat belajar matematik dan sains dalam kalangan pelajar dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran secara formal di dalam kelas, mahupun penglibatan pelajar di luar kelas seperti kegiatan kelab kokurikulum berasaskan subjek.

Bagi Dr Ahmad pengenalan semula dasar PPSMI sebenarnya menunjukkan kegagalan kerajaan PH memperkenalkan produk baru dalam bidang pendidikan.

Hakikatnya pengenalan dasar ini adalah bertentangan dengan dasar bahasa kebangsaan yang menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.