SEMALAM pemancing disyaki melakukan khianat dalam isu pencemaran sungai di Selangor.

Hari ini, burung merpati pula dijadikan penyebab kepada gejala sesak nafas di sebuah sekolah di Pasir Gudang.

Exco Kesihatan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar yang membuat lawatan ke Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, hari ini menyatakan najis burung antara faktor masalah gangguan kesihatan murid.

Dalam lawatan itu Khuzzan mendapati selain najis, hama burung merpati di bahagian atas siling sekolah mungkin menjadi antara penyebab.

Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Exco Pendidikan, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Kesihatan, Dr Selahudden Abd Aziz, Mohd Khuzzan.

Dimaklumkan, masalah najis burung merpati ini telah berlanjutan sejak lima tahun dahulu.

“Pencemaran bau dari najis ini mungkin antara faktor kita lihat sekolah ini setiap hari ada saja murid menghadapi simptom sesak nafas dan juga muntah-muntah.

“Kita minta pihak Kementerian Pendidikan segera tangani isu ini kerana kita nak pastikan pelajar tidak berdepan masalah kesihatan di sekolah,” katanya.

Semalam dilaporkan sembilan kes baharu gejala sesak nafas membabitkan lapan pelajar dan seorang guru.

Sejak kes berkenaan berlaku Mei lalu, gejala sesak nafas sering berulang di kawasan ini.

Mereka terbabit adalah dari SK Tanjung Puteri Resort (tiga pelajar), SK Kopok (dua pelajar), SK Taman Rinting 3 (dua pelajar, satu guru) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2 (satu pelajar).

Kesemua mereka hanya menerima rawatan pesakit luar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, ada 2,500 kilang di Pasir Gudang dengan 250 daripadanya adalah kilang kimia, yang mungkin menjadi punca gejala sesak nafas itu.

Pada 27 Jun lalu, Mohd Khuzzan memaklumkan sebanyak 38 kilang di sekitar Pasir Gudang telah dikenakan kompaun, menerima notis arahan serta perintah tahan operasi.

Kilang-kilang tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk berkaitan buangan terjadual.

Yang menjadi persoalan, selepas dikompaun, tahan operasi dan sebagainya adakah pihak Jabatan Alam Sekitar terus memantau kilang terbabit daripada terus beroperasi?

Apakah ada jaminan tidak berulangnya insiden pencemaran yang sama?

Bagaimana pula najis burung di Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort mampu menyebabkan gejala sesak nafas sehingga ke empat sekolah lain.

Sungguh hebat najis burung tersebut!

Yang pasti kerajaan DAP-PH akan sentiasa mencari pihak untuk dikambinghitamkan, hatta burung sekalipun. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.