PENGERUSI Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya mempertikaikan bagaimana Wan Ji Wan Hussin dibenarkan berceramah di sebuah Masjid Ahad lalu.

Walhal Wan Ji telah disabitkan bersalah menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Walaupun lokasi masjid itu bukan di Selangor tetapi tindakan itu seolah-olah cuba mencetuskan provokasi dan membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Oleh itu, Aminuddin merasakan penceramah itu tidak bergerak berseorangan dan ada pihak lain berada di belakangnya.

Walau bagaimanapun Aminuddin enggan mendedahkan siapakah pihak di belakang Wan Ji.

Pada 9 Julai lalu Wan Ji dijatuhkan hukuman penjara setahun atas kesalahan menghina Sultan Selangor.

Pada 9 April 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Pada 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Selangor termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebook.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, jam 10 pagi, pada 5 November 2012.

Selepas dipenjarakan pada hari hukuman dijatuhkan pada 9 Julai lalu, pemuda DAP dan komponen PH yang lain mengadakan tunjuk perasaan di hadapan penjara meminta pembebasan Wan Ji.

Kes Wan Ji turut mendapat perhatian Presiden PKR dan mengatakan hukuman itu terlalu keras.

Sokongan DAP-PH kepada Wan Ji disifatkan pembangkang sebagai pelanggaran kepada keluhuran perlembagaan kerana mencampuri urusan kehakiman secara langsung.

Wan Ji juga pernah bekerja di bawah Lim Guan Eng yang ketika itu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada ketika ini, Wan Ji dalam proses rayuan di mahkamah.

Jadi, walaupun Aminuddin tidak menyatakan siapa di belakang Wan Ji, umat Islam di Malaysia secara umumnya tidak sukar untuk meneka. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.