ISI kandungan buku teks Sejarah Tingkatan Empat bakal ditambah untuk memastikan belia berumur 18 tahun bersedia untuk mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, penambahan daripada 5 muka surat kepada 19 muka surat itu bagi memberi pendedahan yang lebih baik kepada belia mengenai sistem demokrasi negara.

“Tiada subjek baharu mengenai demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan akan diperkenalkan pada sesi persekolahan tahun hadapan.

“Kurikulum dan silibus sedia ada akan ditambah baik termasuk menyemak semula kandungan buku teks dan peperiksaan bagi menjadikan belia lebih celik sistem demokrasi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Nie Ching, ia bagi memperkukuhkan lagi sistem pendidikan sedia ada dan menambaih baik sistem sukatan pembelajaran dalam kalangan pelajar tingkatan empat dan lima.

“Kita memang dalam proses untuk tambah baik dan perkukuhkan pendidikan demokrasi dalam buku teks untuk Tingkatan Empat dan Lima.

“Untuk Tingkatan Enam pula, pendidikan demokrasi terkandung dalam subjek Pengajian Am dan Sejarah.

“Setakat ini, kita dalam proses untuk menyemak sukatan peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia),” katanya.

Beliau menambah, sukatan pelajaran di sekolah sememangnya mempunyai elemen demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.

“Sememangnya demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan telah diajar sejak tahun Empat di sekolah rendah sehingga Tingkatan Enam tetapi pendedahan dan isi kandungan buku adalah berbeza,” katanya. – 23 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.