PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan kerajaan negeri seperti “syok sendiri”, kata Pemuda UMNO negeri itu.

Noor Hariri Mohamed Noor berkata, kenyataan Husam Musa seolah-olah untuk menutup isu perpecahan dalaman parti itu di samping untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan Pusat.

“Ia tak lebih dari mengalih perhatian daripada isu perpecahan dalaman PH dan masalah moral peribadi yang melanda pemimpin tertinggi parti itu.

“Soalan demi soalan diutarakan kepada mereka tetapi tiap kali itu juga gagal dijawab oleh mereka,” katanya.

Menurut Noor Hariri, beliau kesal dengan sikap Husam Musa yang memerli dan menyindir negeri itu sebagai negeri Islamik.

“Kelantan, satu negeri majoriti penganutnya beragama Islam dan mengamalkan sikap toleransi agama yang tinggi selaras dengan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Banyak program-program bersifat Islamik dan institusi-institusi pondok di negeri ini dijalankan selaras dengan kehendak masyarakat di negeri ini yang amat mementingkan kepatuhan dalam beragama Islam serta hidup bermasyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Noor Hariri berkata, Husam Musa sepatutnya membantu negeri itu untuk mendapatkan peruntukan kerajaan Pusat untuk memperbanyakkan lagi program-program keagamaan masyarakat Islam bukan bertindak sebaliknya.

“Bekas exco kerajaan negeri itu sepatutnya tidak terikut-ikut dengan rentak menteri-menteri Kabinet dari Amanah dan DAP yang sentiasa menyalahkan pentadbiran terdahulu.

“Mereka (menteri) sama sekali gagal membuktikan kecekapan mentadbir. Bak kata pepatah orang Melayu, ‘ayam berkokok berderai-derai, tetapi ekor bergelumang tahi,’ ia sesuatu yang amat memalukan.

Tambah Noor Hariri, Husam Musa boleh menjadi medium untuk bantu kerajaan bukan seperti memberi gambaran negeri itu seolah-olah tiada harapan.

“Dia boleh jadi medium untuk bantu kerajaan jika benar belum Islamik tetapi bukan bersikap mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menyindir dan seperti orang yang putus harapan,” katanya. – 24 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.