DENGAN muka selamba Exco DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong hadir ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 semalam.

Walhal, pemimpin Bangsa DAP itu masih terpalit dengan dakwaan rogol seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Sehubungan itu, PAS Perak tampil mempersoalkan nilai integriti yang diperjuangkan oleh DAP selama ini sedangkan ahlinya dikaitkan dengan kes rogol.

Ketua Penerangannya, Mohd Hafez Sabri berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu sepatutnya meletakkan jawatan atau menggantung tugasnya buat sementara waktu bagi menanti siasatan polis terhadapnya selesai.

“Rogol ialah satu tuduhan yang serius dalam apa jua keadaan lebih-lebih lagi ia melibatkan seorang exco kerajaan negeri dan ahli politik kanan bahkan tuduhan telah dilaporkan.

“Mana perginya pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan DAP yang selama ini menjadi pelindung kepada hak-hak wanita?,” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 8 Julai lalu, satu laporan polis dibuat oleh seorang pembantu rumah warga Indonesia terhadap Choo Kiong yang juga majikannya atas dakwaan rogol.

Dalam pada itu, Hafez berkata, dakwaan kes rogol berkenaan yang turut dilapor dalam media luar negara telah merosakkan nama baik Perak dan Malaysia di persada antarabangsa.

“Malu pada dunia luar terutamanya kepada negara jiran kita Indonesia kerana penjenayah yang dikaitkan dengan kes rogol masih bebas begitu sahaja.

“Perkara ini sudah pasti akan membawa kesan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya. – 17 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.