SATU lagi kepincangan Pejabat Peguam Negara terdedah dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Ini berikutan keputusan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan pasukan peguam Najib menyoal saksi kes itu, Joanna Yu Ging Ping, 48, berdasarkan kenyataan saksi asalnya berbanding salinan kenyataan saksi yang dipinda.

Januari lalu, pihak pendakwaan memberikan kenyataan saksi asal Joanna kepada peguam Najib tetapi dokumen itu masih belum ditandatangani oleh bekas pegawai AmBank itu.

Namun minggu lalu, pihak pendakwaan yang diketuai oleh Datuk V. Sithambaram memberikan kenyataan saksi yang sudah dipinda kepada barisan peguam Najib yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Joanna yang merupakan saksi ke-54 kes itu, membaca dan menandatangani kenyataan baharu itu semalam.

Kebiasaannya pindaan keterangan saksi melibatkan soal teknikal seperti kesalahan tatabahasa atau mengubah soalan dan jawapan yang dirasakan tidak wajar.

Namun dalam kes Joanna, pihak pembelaan mendapati kandungan keterangan Joanna juga sudah diubah dan amat berbeza berbanding keterangan awalnya.

Susulan permohonan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan semalam, hakim membenarkan peguam Najib untuk menyoal balas Joanna berdasarkan keterangan awalnya yang tidak dipinda atau diubah.

“Mahkamah membenarkan permohonan ini untuk menunjukkan perbezaan (keterangan),” kata Mohd Nazlan.

Sebelum itu, pihak pendakwaan cuba membantah permohonan peguam Najib dengan alasan bahawa saksi perlu disoal berdasarkan keterangan yang sudah ditandatangani dan dihantar ke mahkamah.

Namun pihak pembelaan membalas dengan hujah bahawa mereka mempunyai hak untuk menyoal Joanna berdasarkan kedua-dua dokumen itu ekoran perbezaan kandungan yang ketara.

Sesi soal balas Joanna akan bersambung pada perbicaraan hari ini. – NTHQiBord, 23 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.