KHALID Jaafar, bekas setiausaha akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Presiden PKR itu cuba menggunakan taktik yang sama dalam usaha menjadi Perdana Menteri.

Menurut Khalid dalam Facebook nya, pertama kali taktik ini digunakan selepas PRU12.

Selepas PRU12, Anwar mengumumkan bahawa beliau mempunyai cukup sokongan bagi membolehnya menjadi Perdana Menteri.

“Maka gemparlah seluruh Malaysia dan ibu negara bagi negara-negara jiran. Anwar Ibrahim sedikit hari lagi akan jadi Perdana Menteri ke-6.”

“Ahli Parlimen UMNO pasca PRU12 yang beliau undang untuk melompat menyeberang ke KEADILAN mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Mereka ternanti-nanti ‘parliamentary coup’, undi tidak percaya yang akan membawa beliau ke Putrajaya atau Istana Negara akan membuka pintu untuk Anwar mempersembahkan SD dukungan Ahli-Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membolehkan beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.”

“Akhirnya temberang Anwar terbongkar, dia tidak mempunyai jumlah sokongan seperti yang beliau sebutkan,” kata Khalid.

Maka BN kekal memerintah sehingga ditumbangkan dalam PR14 oleh Pakatan Harapan yang dipimpin oleh strategis yang lebih cemerlang iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Baru-baru ini, Anwar sekali lagi mengulangi apabila menyatakan beliau mempunyai cukup sokongan iaitu daripada DAP, PKR dan restu Perdana Menteri sendiri.

Menurut Khalid, Anwar sentiasa mencipta persepsi bahawa dia boleh jadi Perdana Menteri pada bila-bila masa yang dia mahukan dan keberadaan Tun Dr. Mahathir di kerusi perdana adalah dengan ihsannya.

Pada masa yang sama, juak-juak Anwar pula membuat kenyataan menuntut tarikh peralihan kuasa tersebut ditetap.

Hakikatnya, Anwar sedar Tun Mahathir masih memegang kunci kuasa dan pada bila-bila masa sahaja boleh bertukar fikiran.

“Dukungan kepada Tun Mahathir yang bipartisan sifatnya telah menjana kestabilan politik dan membolehkan beliau dan kiabinetnya memberikan tumpuan kepada menangani masalah rakyat dan ekonomi negara,” kata Khalid.

Kedudukan Anwar yang tidak memegang apa-apa jawatan cabinet menyebabkan dirinya terpinggir daripada arus perdana pemberitaan.

Bahkan, wajah Wan Azizah lebih kerap muncul dikaca kerana menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Jika dibandingkan dengan menteri kabinet pun, Anwar jauh ke belakang.

Maka, menurut Khalid digembar-gemburkan kempen peralihan kuasa dan citra Perdana Menteri ke-8. Rakyat diheret ke dalam kontroversi tentang apa yang boleh diuruskan secara teratur dalam Pakatan Harapan.

Bahkan, selepas kira-kira setahun menjadi Presiden PKR, partinya berantakan berperang sesama sendiri.

Bukan itu sahaja, tindaka Anwar menyuburkan kewujudan puak-puak dalam partinya dan berusaha menyekat individu yang cuba naik melebihnya.

“Maka, persoalan paling agung di hadapan rakyat Malaysia pada hari ini, apakah Anwar sebagai sebagai orang yang gemar kepada ketidakstabilan, sendiri mencipta kacau bilau dalam parti dan dilihat tidak dapat berlaku adil kepada semua ahli parti berupaya untuk mempertahankan kestabilan dan ketenteraman negara serta memberi keadilan kepada semua?” soal Khalid. – 24 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.