MAHKAMAH Koroner Shah Alam akhirnya memberi kata putus hari ini untuk menutup prosiding inkues berhubung dengan penentuan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu.

Selepas 41 hari, koroner Rofiah Mohamad berkata, beliau berpuas hati dengan keterangan semua saksi inkues yang dipanggil bagi memberi keterangan.

Jelasnya, beliau tidak akan memanggil mana-mana saksi lain.

“Setelah meneliti keterangan sedia ada, mahkamah tidak akan memanggil mana-mana saksi.

“Sehubungan itu, inkues ini ditutup,” katanya dalam satu kenyataan.

Koroner Rofiah ketika prosiding memberitahu agar pihak berkepentingan mengemukakan hujahan bertulis.

“Hujahan bertulis ini perlu dikemukakan sebelum atau pada 21 Ogos nanti,” katanya.

Dalam pada itu, hanya pihak keluarga yang mewakili Muhammad Adib yang bercadang mahu memasukkan hujahan bertulis tersebut.

Oleh itu, Rofiah menetapkan tarikh 21 Ogos sebagai tarikh untuk mengemukakan hujahan bertulis berkenaan.

Dalam prosiding itu, inkues dikendalikan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin dan Asyraf Ashy’ari Kamaruzzaman.

Prosiding inkues yang bermula 11 Februari lalu membabitkan 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar turut dipanggil memberi keterangan dan 137 barang kes (eksibit) dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang terkorban akibat mengalami kecederaan parah dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN), selepas 21 hari bertarung nyawa. – 24 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.