MAJLIS Tertinggi (MT) UMNO hari ini sebulat suara menerima kerjasama dengan PAS yang berlandaskan Taawun Siyasi, lapor UMNO online.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Setiausaha Agung UMNO dan PAS akan mengeluarkan kenyataan bersama mengenai perkara berkenaan berhubung tarikh dan perkara yang berkaitan dengan piagam berkenaan.

Majlis tandatangan piagam kerjasama berkenaan akan dimaklumkan esok.

“Ekoran itu kita amat menghargai iltizam dan komitmen pihak PAS yang mahu menterjemahkan pelaksanaan kepada piagam ini,” katanya.

Dalam mesyuarat yang sama, Zahid menegaskan MT juga telah memuktamadkan bahawa hanya presiden parti yang diberikan mandat untuk mewakili UMNO jika terdapat mana-mana pihak daripada luar yang ingin mengadakan sebarang kerjasama.

“Jika ada pihak-pihak di luar UMNO dan PAS serta BN yang menjemput untuk mengadakan perbincangan dalam apa juga bentuk kerjasama politik, hanya presiden sahaja yang mewakili UMNO dan tidak ada tokoh-tokoh atau individu lain yang diberikan mandat untuk mewakili parti,” kata Zahid lagi.

Mesyuarat juga memutuskan bahawa sebarang perbincangan atau perundingan mesti mematuhi apa yang telah dimuktamadkan oleh MT.

UMNO juga tidak akan mengadakan sebarang perundingan dengan mana-mana parti terutama parti-parti yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) selagi mereka berkongsi kuasa politik dengan DAP.

Zahid juga turut menegaskan bahawa UMNO menolak sebarang kerjasama dengan DAP.

Tambahnya lagi selagi mana-mana parti bekerjasama dengan DAP, UMNO tutup pintu untuk sebarang perundingan.

Namun, menurut Zahid jika sekadar untuk berbincang dan mendengar pandangan pihaknya masih bersedia.

Tetapi untuk sebarang kerjasama, UMNO tutup pintu kerana menolak DAP 100 peratus.

Sejak merdeka UMNO tidak pernah mengadakan sebarang bentuk kerjasama politik.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, kebanyakan parti pembangkang seperti PAS dan Gerakan telah menyertai BN demi kebaikan bersama, tetapi DAP menolaknya dan kekal sebagai pembangkang. – 24 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.