TINDAKAN Adun Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab membenarkan pendakwah kontroversi, Wan Ji Wan Husin menyampaikan kuliah dilihat sebagai provokasi terhadap masyarakat di kawasan sekitar, kata PAS Melaka.

Menurut Timbalan Pesuruhjayanya, Wan Zahidi Wan Ismail, Sofi Mohd bersikap tidak bertolak ansur terhadap tentangan pelbagai pihak termasuklah permintaan jemaah masjid itu sendiri.

“Sofi tidak akomodatif kerana enggan bertolak ansur terhadap permintaan jemaah di masjid berkenaan yang meminta agar pendakwah itu tidak menyampaikan ceramah.

“Selaku wakil rakyat beliau sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti masyarakat yang nyata tidak bersetuju dengan ceramah itu diadakan,” katanya.

Jelasnya, Mohd Sofi yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bukan sahaja tidak mahu mengadakan rundingan secara baik, sebaliknya memberi arahan kepada polis supaya mengambil tindakan terhadap bantahan tersebut.

“Apa yang dikesali, kerajaan negeri juga memperlihatkan sikap ‘double standard’ terhadap ceramah Syamsul Debat di Masjid Tanah dan Alor Gajah hingga berlaku pemecatan Pengerusi MPKK di DUN Gadek,” katanya.

Menurut Wan Zahidi, Pas Melaka menolak dan tidak bersetuju dengan sikap ADUN dari Parti AMANAH itu yang tidak mengambil kira aspek latak belakang penceramah itu.

“Beliau perlu mengambil kira latar belakang penceramah itu yang mana sebelum ini telah dijatuhi hukuman di bawah Akta Hasutan berkait penghinaan kepada Sultan dan Raja-raja Melayu serta Rasulullah S.A.W.

“Sikap Wan Ji itu telah menimbulkan kebencian dan prejudis yang tidak sesuai diberi ruang dan tempat untuknya mengadakan ceramah atau berceramah soal agama di masjid,” katanya.

Tambah Wan Zahidi yang turut mempersoalkan surat kelulusan yang dikeluarkan Timbalan Mufti memerlukan sebulan permohonan dan kelulusan dari Mufti itu sendiri.

Namun, Wan Zahidi menimbulkan persoalan bagaimana Sofi mendapatkan kebenaran tersebut atau ada tangan ghaib lain yang turut terlibat dalam kejadian itu sehingga membolehkan penceramah kontroversi itu boleh masuk berceramah. – 24 Julai 2019.

1 COMMENT

  1. InI adalah seorang pendakwah contoh yang dilabel sebagai pengecut sepatutnya bagi bangsa melayu yg beragama islam tidak harus bagi kamu menghina sultan & Raja2 kerana sultan & Raja2 adalah ketua agama islam yg memerintah negara.. penceramah hanya diberikan hak utk menyampaikan kuliah agama dan seruan NABI ALLAH MUHAMMAD S.A.W
    Tidak perlu menghina sultan & Raja2 serta menjadi ketua negara termasuk PM…Tidak dibenarkan apalagi yang dihina ulamak2 agong..

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.