SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyalahkan kegagalan pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang lama sebagai antara punca berlaku gangguan air terbaharu di Lembah Klang.

Pengerusinya, Charles Santiago berkata ekoran kegagalan itu, pengurusan terbaharu Syabas perlu melakukan banyak perkara walaupun telah diambil alih Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Air Selangor telah menjadi operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 1 April lalu selepas proses penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor termeterai, Januari lalu.

Penstrukturan semula itu telah menyaksikan Air Selangor mengambil alih Syabas, Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash), Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB) dan Konsortium Abass Sdn Bhd. (KASB).

Ahli Parlimen Klang dari DAP itu berkata, mesin yang digunakan untuk merawat dan membekalkan air ke setiap isi rumah perlu diselenggara secara berkala kerana beroperasi sepanjang tahun untuk memastikan ia lebih kukuh dan tahan lasak.

Menurut Santiago, memandangkan saiz rangkaian air yang besar, paip-paip air di Selangor juga perlu dinaik taraf secara berperingkat disebabkan peningkatkan populasi Lembah Klang.

“Memandangkan kerja penyelenggaraan tidak menjadi budaya utama yang diamalkan negara, maka mesin-mesin ini berhadapan pelbagai masalah,” katanya.

Santiago turut menyalahkan kelemahan penguatkuasaan agensi kerajaan serta kelemahan pelaksanaan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita perlu fikir semula cara menguruskan sumber air negara dengan baik,” katanya.

Lebih sejuta pengguna di tujuh wilayah Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad lalu susulan pencemaran diesel di Sungai Selangor.

Gangguan tersebut merupakan kejadian kedua dalam tempoh seminggu selepas pencemaran bau pada Jumaat minggu lalu yang memaksa operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), SSP2 dan SSP3 serta Rantau Panjang terpaksa dihentikan.

Namun begitu, bekalan air di tujuh kawasan terjejas itu sudah pulih sepenuhnya hari ini, lebih awal berbanding jangkaan sebelum ini. – 25 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.