KETUA Pemuda Bersatu (Armada) Johor, Norul Haszarul Abu Samah digantung daripada jawatan kerana menyokong kerajaan negeri mengekalkan takrif had umur belia di negeri itu sehingga 40 tahun.

Pendirian Haszarul bercanggah dengan langkah kerajaan persekutuan dan inisiatif Syed Saddiq yang meminda undang-undang bagi menetapkan had umur belia dari 15 hingga 30 tahun.

Surat pemakluman penggantungan beliau diterima hari ini.

“Saya tidak sanggup lagi untuk terus berdiam diri ketika halatuju Armada Bersatu tidak lagi menumpukan kepada agenda rakyat dan memenuhi janji manifesto pilihan raya, sebaliknya sentiasa termotivasi untuk mewujudkan perbalahan dengan beberapa pihak terutama pihak istana Johor.

“Sebagai anak Melayu dan anak jati Johor, saya juga tidak sanggup berbalah dengan pihak istana Johor lantaran sikap ketua Armada Nasional yang sering mencetuskan masalah dengan Istana Johor,” jelasnya dalam suatu kenyataan hari ini.

Sebelum ini kerajaan Johor beberapa kali membuat pusingan U berhubung isu had umur belia.

Akhirnya kerajaan negeri membuat keputusan mengekalkan umur 40 tahun sebagai had usia golongan itu.

Dalam membuat keputusan tersebut, timbul dakwaan adanya campurtangan istana sehingga PM berkata akan batalkan keputusan kerajaan Johor.

Negeri-negeri lain yang mengekalkan had umur pada 40 tahun ialah Sarawak, Selangor, Perlis, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Berhubung penggantungan jawatannya, Haszarul menerimanya dengan hati yang terbuka.

Namun, Haszarul, meluahkan suara hatinya bahawa parti yang disertai sejak awal penubuhan kini seolah-olah menutup pintu kepada perbezaan pendapat serta tidak lagi peka terhadap pandangan rakyat.

Dewan Rakyat pada 10 Julai lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668).

Pindaan Akta 668 ialah menurunkan had umur maksimum belia dari 40 tahun kepada 30 tahun dan Tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan belia tidak lebih dua penggal iaitu dari 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya. – 25 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.