PERBICARAAN kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berlangsung sebentar tadi terpaksa ditangguhkan selepas Mahkamah Jalan Duta di sini dimaklumkan terdapat ancaman bom.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur terpaksa dikosongkan susulan ancaman bom yang diterima kira-kira 12 tengah hari tadi.

Orang ramai dan kakitangan mahkamah yang berada di dalam Kompleks Mahkamah itu diarah mengosongkan kamar mahkamah.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai ancaman bom oleh seorang individu yang tidak dikenali.

Ujar beliau, pemeriksaan mungkin akan mengambil masa dan setakat ini bantuan dari Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Penugasan Unit Anjing Pengesan (K9) diarah menjalankan pemeriksaan.

Beberapa hari lepas, kes perbicaraan Najib Razak mengejutkan ramai apabila media mendedahkan perbualan antara ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu.

Perbualan itu adalah sebahagian daripada ‘komplot’ terhadap akaun kad kredit dan akaun peribadi Najib Razak yang kini berdepan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Walau bagaimana pun, masih belum ada pengesahan pihak berkuasa ancaman bom tersebut dikaitkan dengan Najib Razak kerana siasatan polis untuk mengenal pasti kebenaran ancaman bom tersebut masih dalam peringkat siasatan. – NTHQiBORD, 25 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.