LEPAS membangkitkan kemungkinan najis burung merpati sebagai punca gangguan kesihatan Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini, Menteri Kesihatan tampil menolak dakwaan tersebut.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan pencemaran najis burung merpati sebagai antara faktor insiden gangguan kesihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort.

Ini kerana kementeriannya bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah memberi analisa dan mengemas kini hasil dapatan daripada kejadian pencemaran itu.

“Kita kembali apa yang kami sebutkan, tanpa mengganggu (menghalang) sesiapa pun untuk berikan komen dan pandangan mereka.

“Jadi pandangan kami sehingga hari ini, kita tidak mendapati (pencemaran ini ada kaitan dengan najis burung). Fenomena ini kami akan terus pantau,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar sebelum ini tidak menolak kemungkinan insiden murid SK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, mengalami sesak nafas dan muntah-muntah yang berulang turut berpunca daripada pencemaran najis dan hama burung merpati di beberapa bilik darjah sekolah terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan sembilan kes baharu sesak nafas dilaporkan di Pasir Gudang membabitkan lapan pelajar dan seorang guru dari empat sekolah termasuk di SK Tanjung Puteri Resort, yang dirawat sebagai pesakit luar.

Dr Dzulkefly berkata pihaknya turut melibatkan sebuah jawatankuasa pakar bebas untuk menyiasat serta mendapatkan analisa dan dapatan yang pelbagai berhubung insiden pencemaran tersebut.

“Kita akan membandingkan hasil dapatan mereka dengan pihak kita. Ia bergantung kepada secepat mana mereka lakukan dan saya jangka hasil dapatan mereka akan siap hujung bulan ini,” katanya. – 24 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.