DATUK Seri Najib Razak berisiko hilang jawatan sebagai Ahli Parlimen Pekan jika gagal menjelaskan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sehubungan itu, peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan itu, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada LHDN.

Farhan berkata peguam LHDN memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka juga merancang untuk memfailkan permohonan penghakiman terus (walaupun terdapat rayuan terhadap penilaian cukai).

Penghakiman terus bermaksud penghakiman yang dibuat oleh mahkamah untuk satu pihak atas usul pihak lain berdasarkan fakta yang disediakan tanpa perbicaraan penuh.

“Hari ini adalah pengurusan kes bagi kes tuntutan cukai yang saya hadiri melalui e-review. Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami berhasrat memfailkan penangguhan prosiding sementara menunggu rayuan kami terhadap penilaian kepada LHDN.

“Ini bukan kes bayar sekarang dan bincang kemudian, kerana bayar sekarang sebanyak RM1.69 bilion yang akan menjadikan anak guam kami muflis dan menyebabkan beliau tidak layak menjadi Ahli Parlimen.

“Itulah sebabnya kami akan memfailkan penangguhan prosiding perkara ini sementara menunggu penyelesaian penilaian,” katanya.

Pada 25 Jun, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman itu terhadap Najib yang meminta beliau membayar RM1,692,872,924.83, faedah pada lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, serta kos dan pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kerajaan mendakwa notis itu dihantar melalui pos berdaftar kepada Najib pada 25 Mac 2019 ke alamat terakhirnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan surat tersebut tidak pernah dikembalikan kepada LHDN.

Najib diberi 60 hari untuk membayar cukai itu, bersama-sama dengan kenaikan 10 peratus, tetapi mendakwa Najib masih gagal berbuat demikian. – 25 Julai 2019.

1 COMMENT

  1. Jadi2 lh dgn karut marut mcm ni macai2 ph rakyat dh muak dgn crita2 mcm nibyg pnting tingkatkn ekonomi negara dn stabilkn mata wang dn trik plabur2 msuk ke malaysia ni bkn dgn crita2 mcm ni hari2 crita2 bgini org dh muak mendengar dn mlihatkn nya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.