BARU-baru ini, Persidangan kedua penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Melaka menjadi hangat dengan ungkapan peribahasa ‘UMNO Mati’ oleh ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee.

Dalam kejadian itu, beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron meminta agar Norhizam menarik balik kenyataan yang telah dikeluarkan itu.

Menurut Timbalan Pengerusi Ummah negeri itu, Hishamuddin Abu Bakar mengakui bahawa Norhizam sememangnya individu yang banyak menimbulkan kontroversi sejak tampuk kepimpinan bertukar.

“Dia adalah ahli dan pemimpin DAP dan selain penggunaan UMNO mati, beliau juga terkenal dengan gelaran ‘Aku YB ke, Kau YB’.

“Kalau kita tengok perwatakannya pun memang kasar,” katanya.

Namun, Hishamuddin berkata, dalam konteks Melaka, UMNO itu dengan jelas sedang bangkit daripada kekalahannya sebelum ini dan mempertahankan parti itu dengan sangat baik.

“Walaupun saya ini bukan ahli UMNO tapi kebangkitan UMNO di Melaka semakin positif dan barisan kepimpinan mula menggerakkan parti itu secara bersama,” katanya ketika ditemui NTHQibord.

Tambah Hishamuddin, kenyataan yang dikeluarkan oleh Norhizam itu tidak berasas kerana kebanyakan himpunan atau program yang dibuat oleh pembangkang menunjukkan angka kehadiran penyokong yang positif.

“Sebanyak 3 himpunan yang kita buat dan kesemuanya mendapat sokongan yang baik daripada yang hadir.

“Himpunan ketiga, saya kira cecah angka sehingga 10 ribu orang.

“Jadi di mana UMNO itu mati, saya rasa kalau ada pilihan raya lain yang matinya Norhizam, maksudnya mati dari segi karier politiknya,” katanya. – 25 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.