DESAKAN Adun Aulong, Nga Kor Ming dengan memberi masa 24 jam kepada dua orang Adun UMNO untuk meminta maaf kepada Speaker DUN Perak mendapat perhatian ramai.

Datuk Seri Najib Razak dalam Facebook mempersoalkan besar sangatkah kesalahan dua Adun tersebut.

“Apa kesalahan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib?

“YB Zambry telah mengeluarkan tweet bahawa dia tidak puas hati kenapa semua Adun di Perak perlu isytihar harta kepada Speaker Ngeh Koo Ham sedangkan mereka telah setuju untuk isytihar kepada SPRM,” kata Najib.

Di dalam tweetnya, Zambry menyifatkan arahan Speaker itu sebagai langkah Diktator.

Apa pula kesalahan Mohd Khusairi?

Kesalahan Khusairi hanya kerana beliau kongsi tweet Zambry. Itu sahaja.

Menurut Najib, DAP sangat marah dan mahu kedua-dua Adun itu memohon maaf secara terbuka dalam masa 24 jam kerana memanggil mereka sebagai Diktator.

Jika enggan memohon maaf, kedua-dua Adun UMNO ini akan dikenakan tindakan oleh Dewan Undangan Perak.

“Fuh! Garangnya. Dipanggil diktator kena memohon maaf,” sindir Najib.

Najib turut mengingatkan mereka bahawa jika boss DAP (Lim Guan Eng) mereka membohong dalam Parlimen, dengan isu yang teramat penting kerana memfitnah BN telah merompak duit GST sebanyak RM19.4 bilion, tidak pula perlu memohon maaf atau tidak dikenakan apa-apa tindakan pula.

Nga yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada awal tahun ini pernah menggelar kerjasama UMNO dan PAS sebagai “Taliban” tetapi dibenarkan pula.

Tidak pernah dengar dia meminta maaf pun.

“Gelar Diktator pula kena mohon maaf. Kongsi tweet pun kena mohon maaf.

“Terang-terang membohong dan memfitnah tak perlu mohon maaf?”

“Gelar Taliban tak perlu mohon maaf? Di mana keadilannya?” soal bekas Perdana Menteri itu.

Untuk pengetahuan umum Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham, Speaker DUN Perak adalah sepupu. – 25 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.