MANA-mana individu yang disabit kesalahan (dijatuhkan hukuman) kerana salah laku akhlak yang buruk tidak layak diangkat menjadi pemimpin.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya ketika ditemui dalam wawancara bersama Nothing to Hide.

Beliau mengambil contoh kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah, seorang sahabat nabi iaitu Abu Dzar al-Ghifari datang berjumpa nabi dan meminta untuk memegang jawatan.

Namun hasrat Abu Dzar itu ditolak oleh Rasulullah. Alasan yang diberi ialah Abu Dzar seorang yang lemah.

“Antara prasyarat untuk diangkat menjadi pemimpin ialah seseorang itu mestilah yang kuat dan amanah,” kata Fathul.

Fathul memetik ayat al-Quran surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud;
Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai (amanah).

Apakah yang dimaksudkan dengan kuat dalam ayat tersebut, soal Fathul.

Kuat yang dimaksudkan ialah seseorang itu mempunyai karakter, penampilan yang baik dan dihormati oleh masyarakatnya.

Jika ada kecacatan pada karakternya, terpalit dengan skandal dan sebagainya, seseorang itu lebih baik mengundur diri.

Namun, seseorang itu mestilah melalui penghakiman yang adil dan jika disabitkan kesalahan oleh mahkamah terlebih dahulu.

Ulasan Fathul itu merujuk isu akhlak dan skandal seks yang melanda kepada sesetengah pemimpin di Malaysia hari ini. – 25 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.