ANGKARA tuduhan semburit, beberapa pemimpin PKR diberi amaran oleh lembaga disiplin parti itu kerana menyerang individu tertentu dalam parti.

Lembaga disiplin itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai ahli-ahlinya termasuk pemimpin parti yang telah membuat kenyataan peribadi dengan niat menyerang individu tertentu.

Antara yang diberi amaran adalah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor Amirudin Shari.

Amaran itu dipercayai dikeluarkan susulan perbalahan yang berlaku dalam PKR ekoran isu skandal video seks melibatkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Azmin bagaimanapun menafikan dirinya salah seorang dalam klip video berkenaan walaupun bekas Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku beliau adalah lelaki dalam rakaman seks itu bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut.

“Selaras dengan Resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan Keadilan yang berlangsung di Port Dickson baru-baru ini, Lembaga Disiplin akan berusaha memperkukuhkan disiplin dan perpaduan parti dengan menggalakkan usaha-usaha perdamaian dan meredakan pertikaian,” kata kenyataan itu.

Atas nasihat biro politik PKR, lembaga disiplin itu telah mengeluarkan amaran kepada Farhash, Amirudin dan beberapa ahli lain.

Lembaga itu berkata, mereka berhak mengambil tindakan berdasarkan tatacara disiplin parti sekiranya peringatan yang diberikan tidak mendapat respon positif daripada pihak-pihak terlibat.

“Mereka diminta memberi penjelasan mengenai kenyataan yang dibuat mengenai isu itu,” katanya. – 24 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.