KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) menyambung semula projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diusahakan Barisan Nasional (BN).

Perkara itu disahkan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian, selepas projek berkenaan tertangguh selama sembilan bulan.

Malah ECRL menjadi projek kerjasama ekonomi dan perdagangan terbesar antara China dan Malaysia setakat ini.

Tian berkata, pelancaran semula projek mega itu melambangkan aspirasi bersama kedua-dua negara dalam melonjakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan.

“Selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan projek ECRL akan diteruskan pada 15 April lalu, ia meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk melabur di Malaysia, terutama pelabur dari China.

“Malah, sejak tiga bulan lalu, banyak syarikat dan perusahaan China di Malaysia menyatakan jangkaan yang optimis dengan pelaburan di Malaysia.

“Kami juga menyedari semakin banyak perusahaan dan pelabur China datang untuk melabur di Malaysia. Kami percaya, pelancaran semula ECRL hari ini akan meningkatkan kerjasama Malaysia dan China,” katanya.

Tian berkata, daripada perspektif strategik, pemimpin China dan Malaysia sudah mewujudkan hubungan diplomatik sejak 45 tahun lalu, yang membuka pintu persefahaman dan pertukaran antara kedua negara.

“Kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua negara membuahkan hasil terbaik dan sehingga akhir 2018, perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah ASD100 bilion (RM411.4 bilion) dalam tempoh 10 tahun.

“China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia, juga pelabur luar terbesar dalam sektor pembuatan sejak tiga tahun lalu dan rakan kongsi terbesar dalam sektor pembinaan sejak beberapa tahun lalu.

“Justeru, kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan Malaysia mempunyai potensi besar dan cerah, dan China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk membuka era baharu hubungan Malaysia-China dalam pelbagai aspek,” katanya.

Beliau berkata, sebaik ECRL siap dijangka pada 2026, ia akan memacu pembangunan ekonomi, logistik, perdagangan dan pelancongan dan menjadi pemain penting dalam memajukan lagi ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia. – 25 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.