KERAJAAN perlu mengisytiharkan Pasir Gudang sebagai kawasan darurat bencana ekoran gangguan kesihatan yang semakin teruk di kawasan itu, gesa Parti PUTRA.

Naib Presidennya, Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz berkata, langkah itu perlu dilakukan segera mengikut Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Gesaan itu dibuat susulan pemantauan sendiri Parti Putra ke lokasi pencemaran dan mendengar banyak keluhan penduduk di kawasan tersebut.

“Beliau (Hassan) sendiri tidak berpuas hati dengan maklum balas dari pihak-pihak yang lebih berkuasa daripadanya.

“Malah (beliau) meluahkan kekecewaan kerana usul tergempar dicadangkan di Parlimen agar kerajaan mengisytihar darurat di Pasir Gudang dipandang enteng,” kata Mohd Khairul yang turut mengadakan pertemua dengan Hassan.

Selain itu, Putra turut mendedahkan situasi sebenar di Pasir Gudang.

Mohd Khairul berkata, hasil tinjauan selama dua hari di lokasi pencemaran, pihaknya mendapat beberapa masalah yang gagal ditangani kerajaan.

Pertama katanya, tiada satu pun bilik gerakan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri atau Kerajaan Pusat sebagai pusat pengumpulan data, maklumat atau aduan awam berkaitan isu pencemaran di Pasir Gudang.

Kedua, Mohd Nizam berkata, pihak hospital dilihat cuba menyembunyikan maklumat hasil kajian makmal terhadap ujian-ujian darah yang diambil daripada mangsa.

“Tiada sebarang taklimat diberikan kepada penduduk daripada pihak Jabatan Alam Sekitar atau Hazmat untuk tujuan panduan dan pendidikan kepada penduduk berkaitan situasi pencemaran dan langkah-langkah kecemasan yang perlu di ambil bagi menghadapi keadaan jika terbau bauan pelik tertentu di sekitar lokasi.

“Tiada sebarang pampasan atau bantuan peralatan diberikan kepada penduduk yang di arahkan melupuskan semua pakaian sekolah pada hari kejadian.

“Kelemahan sistem penyampaian dan asas komunikasi di kalangan petugas kesihatan dan sekolah untuk menjelaskan fakta sebenar yang berlaku berkaitan punca pencemaran.

“Tiada laporan berita berkaitan seriusnya keadaan sebenar yang berlaku di Pasir Gudang di media arus perdana seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PUTRA akan mengambil insiatif sendiri untuk menghantar spesimen-spesimen air tercemar ke makmal untuk diuji dan disahkan oleh pakar kimia bebas.

Mohd Nizam berkata, beliau akan mendedahkan keputusan ujian itu.

“Pada masa yang sama, PUTRA mendesak pihak kerajaan agar kerap turun padang bagi menunjukkan sifat tanggungjawab kepada pengundi atas bencana yang berlaku ini tanpa cuba menyembunyikan apa-apa risiko bahaya yang mungkin dihadapi rakyat dalam jangka masa panjang.

“Kerajaan juga perlu bertegas terhadap kilang-kilang yang mencemarkan alam sekitar di Pasir Gudang.

“Ini termasuk mengambil tindakan menyita operasi dan menutup kilang tersebut kerana ketamakkan kapitalis mengambil jalan mudah melupuskan bahan kimia merbahaya telah menyebabkan rakyat menjadi mangsa,” katanya. – 25 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.