SIDANG Dewan Rakyat sudah pun menamatkan persidangan pada Khamis lepas. Minggu ini giliran Dewan Negara pula bersidang.

Kesemua Rang Undang-Undang (RUU) yang telah dibahaskan dan diluluskan di Dewan Rakyat perlu melalui proses yang sama di Dewan Negara pula sebelum ianya diperkenankan oleh Agong untuk menjadi Akta.

Hari ini berlangsungnya perbahasan RUU Pindaan Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Antara yang berbahas ialah Senator DAP dari Perak, Nga Hock Cheh.

Senator inilah yang pernah menimbulkan kontroversi pada sidang lepas berkenaan cadangan agar Malaysia membina hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara haram Israel.

Sungguh aneh lagi pelik melihat perbahasan Senator DAP yang tidak pandai berbahasa Melayu ini.

Pada awal perbahasan, dia berucap sepenuhnya di dalam Bahasa Inggeris sehinggalah dia ditegur oleh Senator UMNO, Datuk Mustapa Kamal agar berbahaslah dalam Bahasa Melayu.

Selepas itu, mungkin dek kerana tidak bersedia untuk berucap dalam Bahasa Melayu maka dia pun mula merapu.

RUU yang sedang dibahaskan ialah berkenaan umur mengundi 18 tahun tetapi dia melencong kepada jawatan pengetua sekolah perlu dipilih melalui undian bukan lantikan.

Dia juga membangkitkan isu 1MDB sama ada wajar dimasukkan dalam silibus subjek Sejarah.

Selepas itu, dia mengangkat pula muka hadapan akhbar The Star yang kelihatannya gambar bendera UMNO dan PAS.

Dia membangkitkan mengapa bendera itu tidak disusun dalam gambar yang setara, tetapi satu di kedudukan atas, satu lagi di bawah.

Dia juga berkata gambar bendera PAS itu simbol bulannya kurang bulan, kurang terang dan hujungnya berkedut.

Dia memberikan nasihat agar sebelum PAS menandatangan perjanjian dengan UMNO, perlu semak betul-betul isi kandungan perjanjian.

Kesimpulannya, apa yang sebenarnya Senator DAP ini mahukan daripada perbahasan tadi?
Dia sudah berumur 66 tahun, tetapi hendak berbahasa Melayu pun masih terkial-kial.

Apa kerelevanan berita The Star itu dengan perbahasan RUU Pindaan Perlembagaan Undi 18?

Tetapi, kita tidak dapatlah menyalahkan dia sepenuhnya kerana pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang pun sebegitu juga perangainya, dua kali lima.

Kalau tidak percaya, lihatlah apa yang ditulis di blognya setiap hari, tidak lain tidak bukan ialah topik 1MDB, UMNO, PAS dan Najib.

Inilah realiti Kerajaan PH yang didominasi oleh DAP.

Kerajaan bermentalitikan Pembangkang, bukannya sibuk membela nasib rakyat yang kesusahan tetapi lebih galak untuk menekan dan menyerang pembangkang.

Inilah DAP yang menjadi sanjungan dan kesayangan PAN. – 25 Julai 2019.

SYED AHMAD FADHLI,
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS di Parlimen Malaysia.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.