MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari digesa oleh kumpulan pendesak, Otai Reformis 1998 supaya tidak bermain politik berhubung dalang kes penyebaran video seks melibatkan menteri kabinet baru-baru ini.

Setiausaha kumpulan itu, Abdul Razak Ismail berkata, beliau (Amirudin) jelas cuba menunjukkan dalang di sebalik video tersebut ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun tidak menyebut nama.

“Seorang Menteri Besar beria-ia kata bahawa beliau tahu dalang sebenar.

“Beliau juga berkata dalang utama adalah seseorang yang mengalami pengalaman pahit 20 tahun lepas.

“Ramalan kita tentang kenyataan itu adalah merujuk Anwar Ibrahim dan terang-terang kita Otai Reformis membaca andaian Menteri Besar itu yang menjurus kepada Anwar.

“Jadi kita merasakan andaian itu adalah terlampau berbahaya kepada Anwar sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Abdul Razak memberitahu, sepatutnya MB Selangor itu peka dengan masalah air yang sedang berlaku kepada rakyat bukannya sibuk bermain politik.

“Kita hendak ingatkan MB bahawa Selangor sedang menghadapi masalah air, catuan air dan sebagainya.

“Rakyat sedang marah kepada kerajaan negeri jadi minta jagalah kebajikan rakyat, jangan bermain politik dalam isu video lucah.

“Kalau betul kamu ada bukti bawa terus ke Bukit Aman, nyatakan siapa dalang utama disebalik video itu,” katanya. – 26 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.