DATUK Seri Mohamed Azmin Ali didakwa pernah menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Gerakan sebelum isu video semburit timbul, kata Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Presiden Gerakan itu berkata, pihaknya pernah membincangkan mengenai isu tersebut tetapi ia bukan perbincangan rasmi.

Menurutnya, isu Azmin bakal menyertai Gerakan itu telah lama diperbincangkan iaitu sebelum video intim didakwa membabitkan pemimpin PKR tular.

Beliau mengakui pernah menerima kehadiran beberapa pemimpin PKR dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang menyampaikan maklumat dan hasrat berhubung kesudian Azmin menyertai Gerakan.

“Saya tidak tahu mereka mewakili Azmin atau mewakili sesiapa tetapi saya ada kata memang ada pemimpin NGO, pemimpin PKR dan parti lain Pakatan Harapan (PH) ingin melihat Azmin menyertai Gerakan.

“Oleh itu jawapan saya tetap sama, kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang bersetuju dengan ideologi Gerakan, kita alu-alukan mereka masuk,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya adakah Gerakan akan menerima kehadiran mana-mana pemimpin PKR selepas video kontroversi itu tular.

Dalam masa sama, beliau juga enggan menyatakan sama ada menawarkan sebarang jawatan sekiranya Azmin menyertai parti berkenaan.

“Borang pun belum terima lagi, takkan nak bincang tentang isu jawatan pula. Saya tidak akan ulas tentang sesuatu perkara yang belum berlaku,” katanya.

Beliau juga mengakui tidak menerima surat permohonan rasmi dari Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu untuk berbuat demikian.

Semalam, Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong mengucapkan selamat datang kepada Azmin sekiranya mahu bersama Gerakan.

Bagaimanapun, setiausaha politik Azmin, Hilman Idham menafikan kononnya Timbalan Presiden PKR itu akan keluar parti selepas beberapa isu yang terpalit. – 26 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.