KETUA Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Muhammad Rashidi Abdul Razak menggesa kerajaan bertindak lebih tegas terhadap pihak yang menghina Islam.

“Peningkatan kes penghinaan terhadap agama Islam semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Terbaru melibatkan suatu status laman muka buku ‘Wendy Loong’ yang jelas menghina Nabi SAW dan Islam.”

“Amat mendukacitakan kes-kes ini kelihatan semakin berleluasa dengan pihak-pihak tidak bertanggungjawab semakin berani menonjolkan penghinaan yang berbaur provokatif terhadap umat Islam,” kata Muhammad Rashidi dalam suatu kenyataan.

Menurut beliau, penghinaan tersebut seolah-olah sengaja dilakukan bagi mencetuskan keadaan tidak tenteram dalam kalangan masyarakat khususnya orang Islam serta boleh mengikis keutuhan sosial dalam negara kita.

Meskipun ada undang-undang yang berkaitan termasuklah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), malah ia juga boleh melibatkan Akta Hasutan 1948 yang mengalami pindaan terakhir pada 2015 iaitu penambahan klausa “promote feelings of ill will, hostility or hatred…on the ground of religion, namun ia dilihat gagal mengekang penghinaan yang semakin berleluasa di media sosial.

Persoalannya, adakah undang-undang hari ini masih longgar dan tidak mampu memberi cegah rintang (deterrent) terhadap kes-kes sebegini, soal beliau.

Oleh itu, Muhammad Rashidi menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia, dan JAKIM mengambil suatu langkah drastik mengekang perkara sebegini daripada terus berulang.

Beliau juga berpandangan kesalahan penghinaan atas nama agama, kaum dan raja-raja perlu digolongkan dalam senarai “jenayah siber”.

Hari ini, Sayap PAS dan UMNO negeri Perlis bersama-sama membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook, Wendy Loong.

Dua hari yang lalu, Sebanyak empat laporan dibuat bersama oleh pemimpin Pemuda UMNO Selangor, Pemuda PAS Selangor, Wanita UMNO Selangor dan Dewan Muslimat PAS Selangor di Balai Polis Seksyen 6.

Begitu juga di beberapa negeri lain, laporan serupa turut dibuat.

Sejak kerajaan DAP-PH mengambilalih kerajaan daripada UMNO-BN, penghina Islam semakin berani dan jumlahnya juga meningkat.

Adakah ini juga sebahagian daripada agenda DAP?

Tindakan DAP yang mendiamkan diri boleh dilihat sebagai bersengkongkol dengan penghina terbabit.

Malah tidak mustahil, merekalah di sebalik semua itu. – 26 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.