BUKAN rahsia lagi bagi rakyat Malaysia bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini sedang dilanda gelombang yang besar.

Perbalahan terbuka bermula apabila tersebarnya video seks yang dikatakan mirip kepada Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

Penyebaran video itu membangkitkan pertembungan antara kem Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin.

Namun, di tengah-tengah pertempuran itu tiba-tiba Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bahawa perbalahan dalaman PKR ketika ini perkara biasa dalam politik.

Kenyaataan ini disifatkan tidak berpijak di bumi nyata.

“Benarkah bersatu? Sedang rakyat melihat perbalahan sengit dan keretakan besar sedang berlaku dalam PKR antara kem Anwar dan Azmin,” soal Roslan Shahir Mohd Shahir, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor.

Bahkan video lucah songsang yang kononnya dikatakan membabitkan Azmin menurut pihak polis adalah konspirasi jahat pihak atasan politik untuk menjahanamkan karier politik orang tertentu.

Beberapa media menunjukkan pimpinan Cabang PKR dari beberapa negeri berikrar menberikan kesetiaan kepada Anwar. Antaranya dari Johor dan Pulau Pinang.

“Masalahnya apa perlu ikrar ini jika Wan Azizah kata tiada masalah dalam partinya.”

“Mengapa tidak beri ikrar setia pada Anwar dan Azmin. Bukankah keduanya Presiden dan Timbalan?” kata Roslan.

Bagi Roslan, Wan Azizah mungkin terlalu sayang dan setia pada suaminya sehingga nampak pergolakan dalam partinya itu perkara biasa atau sengaja buat-buat tidak nampak.

Menurut Roslan, sejak video kotor itu menjadi isu, semuanya sudah keruh. PKR bergolak sehingga apabila didesak letak jawatan dalam kabinet Azmin mendakwa seorang rakannya dalam kabinet sebagai munafik dan Presidennya perlu cermin wajahnya sendiri.

Itu bukan kata-kata penyatuan tetapi berkerat rotan berpatah arang bunyinya.

“Politik matlamat menghalalkan cara memang tidak boleh pergi jauh.”

“Rakyat mahukan pemimpin yang jujur dan bukannya yang tikam-menikam sesama sendiri. Berapa lamakah mampu bertahan PKR ini?” ujar Roslan.

Dalam perkembangan lain, timbul pula cerita yang mengatakan Azmin bakal melompat parti bersama penyokong setianya.

Jika itu berlaku, pastinya kerajaan yang sedia ada akan bergolak dan tidak mustahil parlimen dibubarkan. – 26 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.