SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini ‘panas’ dengan aksi Ketua Pembangkang Datuk Saarani Mohamad ‘membelasah’ pemimpin DAP.

Lebih menarik lagi, pemimpin DAP yang ‘dibelasah’ itu bukan pemimpin biasa, sebaliknya Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Shaarani ‘mensekolahkan’ Koo Ham kerana tidak berpuas hati terhadap usul pengisytiharan harta oleh semua ADUN yang perlu dibuat kepada Speaker DUN, bukannya SPRM.

Katanya, pindaan kepada usul berkenaan adalah penting selari dengan konsep pengasingan kuasa melibatkan badan perundangan dan badan eksekutif bagi mengelak sebarang pertindihan mahupun penyalahgunaan kuasa.

“Yang Dipertua Dewan (Speaker) tiada kuasa untuk menyemak borang yang dikemukakan. Saya hendak tanya, kalau borang ini dihantar kepada Speaker, Speaker hendak buat apa dengan borang ini? Simpan, tengok, baca, fotostat? Tidak boleh.

“Kita seolah-olah menodai atau memperkosa konsep pengasingan kuasa. Lebih teruk, menurut usul ini, satu salinan borang tersebut hendaklah diberikan kepada SPRM, ini apa cerita? Kita telah mengambil kuasa SPRM kerana SPRM hanya dapat salinan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul pengisytiharan harta tersebut yang diusulkan oleh Terence Naidu (DAP-Pasir Bedamar) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 23 Julai lalu.

Mengikut usul tersebut, sesuai dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan, semua ADUN hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang dalam akaun berkanun.

Namun begitu, sebelum memulakan perbahasan, Koo Ham menggunakan kuasanya sebagai Speaker melalui Perintah Tetap 30(4) untuk membuat pindaan terhadap usul tersebut dengan menambah perkataan ‘dalam bentuk dan borang sepertimana yang ditetapkan oleh Yang Dipertua Dewan Negeri’.

Sehubungan itu, Saarani menegaskan, perkataan ‘borang yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Negeri’ memanifestasi Speaker telah pun mempunyai dokumen berkenaan dan ia berlainan dengan SPRM, justeru ia merupakan satu perbuatan salah. – 26 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.