SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu lebih telus dalam mengendalikan kes-kes rasuah yang melibatkan ahli politik agar imej agensi antirasuah itu tidak terjejas, kata Jais Abdul Karim.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) itu berkata, sebagai contoh, pengguguran kes rasuah melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah satu penanda aras rakyat untuk menilai kredibiliti SPRM.

Jelasnya, kenyataan ketua SPRM, Latheefa Koya bahawa kes Guan Eng tidak boleh dibuka semula kerana sudah ditetapkan mahkamah adalah tidak tepat.

“Kebiasaannya apabila SPRM sudah ada bukti melebihi 90 peratus, kes itu akan dipanjangkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk pendakwaan.

“Pendakwaan sebelum ini terhadap Guan Eng sudah sempurna, kenapa ditarik balik kes itu?

“Kes itu tidak diteruskan, sedangkan SPRM telah menghabiskan masa dan tenaga untuk menyiasat,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord.

Sehubungan itu Jais berkata, SPRM tidak boleh membenarkan perkara itu berlaku kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti SPRM.

Malah katanya, Latheefa dan SPRM juga tidak boleh mengkhianati kepercayaan rakyat yang diberikan terhadapnya.

Beliau juga menasihatkan Latheefa agar merujuk kes Guan Eng dan kes lain yang digugurkan kepada pegawai-pegawai SPRM yang lebih berpengalaman selepas kes itu diperlakukan secara tidak wajar oleh Pejabat Peguam Negara.

“Mungkin ada kaedah juga yang boleh dilakukan SPRM untuk membuat pendakwaan kali kedua menerusi Peguam Negara,” katanya.

Mengulas mengenai campur tangan politik dan pihak berkepentingan, Jais berkata kes rasuah seperti yang melibatkan Guan Eng akan menjadi penanda aras pada masa depan terhadap cara SPRM menangani kes yang berkaitan dengan ahli politik.

“Dari penanda aras ini, rakyat dapat melihat sendiri kemampuan dan ketelusan pihak SPRM dalam menangani kes-kes yang berkaitan politik,” katanya. – NTHQiBord, 25 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.