KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) wajar mempertimbangkan empat cadangan tambahan dalam pelaksanaan skim Rent To Own yang akan dilancarkan bulan September ini, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Bekas Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor itu berkata, cadangan pertama adalah kementerian perlu memastikan bayaran sewa yang dibayar sejak mula menyewa ditolak dari harga rumah sehingga rumah itu dijual semula.

Contoh katanya, jika seorang peserta skim ini membayar sewa RM800 sebulan dan membuat keputusan untuk membeli rumah selepas 5 tahun, jumlah sewa yang telah dibayar adalah RM48,000.

“Sekiranya 75 peratus dari jumlah ini ditolak dari harga rumah maka peserta akan mendapat diskaun RM36,000.

“Peserta hanya perlu membayar RM164,000 bagi rumah yang dijual dengan harga RM200,000,” katanya Iskandar yang juga merupakan Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH).

Cadangan kedua pula, Iskandar berkata, kementerian perlu memulangkan semula sebahagian sewa yang dibayar jika peserta tidak mahu membeli rumah yang disewa dan mahu berpindah

Sebagai contoh katanya, seorang peserta yang membayar sewa RM800 sebulan dan membuat keputusan untuk berpindah selepas lima tahun akan mendapat balik RM36,000 jika 75 peratus dari sewa yang dibayar dipulangkan semula.

“Wang yang dipulangkan dapat membantu peserta membeli rumah di tempat lain.

“Ketika saya menjadi Exco Perumahan Selangor terdapat skim pembayaran balik sewa seperti ini yang dinamakan SMART SEWA,” katanya.

Selain itu, Iskandar berkata, jika seorang peserta gagal sama sekali mendapat pinjaman bank kerana kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan, sewa yang dibayar akan dijadikan bayaran ansuran pembelian rumah.

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada kerajaan untuk menentukan jumlah bulan yang perlu dibayar sebelum harga rumah itu dapat dibayar sepenuhnya.

“Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun tetapi ia tidak sepatutnya lebih mahal dari pinjaman bank.

“Cadangan keempat, harga jualan rumah adalah nilai ketika peserta mula-mula berpindah masuk dan bukan nilai semasa ketika rumah itu dijual,” katanya. – 26 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.