WONG Kah Woh, Ahli Parlimen Ipoh Timur dilantik sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

Menurut Kah Woh, pelantikan beliau tidak akan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Selain itu, Kah Woh berkata, tidak wujud sebarang unsur kepentingan dalaman dalam pelantikan tersebut memandangkan anggota PAC sememang terdiri daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Saya tegaskan di sini, pelantikan saya sebagai Pengerusi SEDA tiada konflik kepentingan dengan jawatan saya di dalam PAC.

“Saya tak mahu layan tuduhan Pemuda UMNO dan pembangkang terhadap DAP kerana ia tak berasas dan fitnah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kah Woh berkata demikian bagi menjawab dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa pelantikkannya menunjukkan parti DAP semakin rakus menguasai semua sektor dalam ekonomi negara.

“Sebarang keputusan melibatkan siasatan PAC dibuat secara kolektif dengan mengambil pandangan semua ahli.

“Jika terdapat siasatan atau sesi pendengaran awam berkaitan SEDA, beliau akan menarik diri daripada terlibat dalam sesi tersebut.

“Tindakan itu bagi memastikan tiada sebarang konflik kepentingan dalam sebarang keputusan yang akan dibuat,” katanya. – 26 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.