TINDAKAN ADUN Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab yang memanggil penceramah kontroversi Wan Ji Wan Hussin menimbulkan kemarahan kariah dan penduduk setempat, kata Hishamuddin Abu Bakar.

Timbalan Pengerusi Ummah Melaka itu berkata Sofi sebagai seorang pemimpin sepatutnya bersifat lebih terbuka dengan mendengar pendapat daripada semua orang terutamanya penduduk yang telah memilih beliau sebagai wakil rakyat.

Jelas Hishamuddin, Sofi awal-awal lagi tahu kariah dan penduduk di situ tidak bersetuju Wan Ji sebagai penceramah tetapi beliau tetap berdegil dengan keputusannya.

“Saya kira tidak lebih lima orang yang duduk untuk mendengar ceramah itu tapi saya tidak pasti yang hadir itu kerana dipaksa atau sebaliknya.

“Kalau ada pun lebih kurang 20 orang sahaja, itu pun orang dari kampung sebelah yang dipanggil untuk hadir,” katanya.

Selain itu, Hishamuddin berkata, beliau amat mengenali dengan dekat perwatakan Sofi.

“Saya mengenali watak saudara Sofi ini, dia bukan seorang yang berani.

“Kita sebagai pemimpin rakyat seharusnya berani berdepan dengan mereka dan duduk bersama untuk berunding.

“Tetapi bagi saya, mungkin Sofi ini bukan seorang yang sukakan keamanan kerana membiarkan sahaja Wan Ji untuk memberi ceramah sehingga menimbulkan kekecohan,” katanya.

Hishamuddin juga mempersoalkan bagaimana Wan Ji itu hendak menyampaikan ilmu sedangkan dirinya sendiri tidak betul.

“Awal-awal lagi Sofi boleh membuat keputusan untuk membatalkan atau menukar kepada penceramah lain.

“Apakah objektif Sofi atau beliau ada agenda tertentu.

“Wan Ji hendak bagi nasihat macam mana sebab apa yang dia tahu hanya maki Raja, maki Sultan sahaja,” katanya. – NTHQiBord, 26 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.