NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, dakwaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar parti itu adalah khabar angin.

Jelas Zuraida, khabar angin tetap khabar angin.

“Bukan mudah untuk menyingkirkan seseorang daripada jawatan yang dipilih sendiri oleh anggota sesuatu parti.

“Azmin merupakan Timbalan Presiden Keadilan dan beliau dipilih oleh anggota parti itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida menambah bukan mudah untuk menyingkirkan seorang pemimpin melainkan terdapat komplot dalaman untuk menjatuhkan pemimpin berkenaan.

“Apabila sudah dipilih, beliau tidak boleh disingkirkan begitu sahaja. Tidak semudah itu,” katanya.

Selain itu, apabila Zuraida ditanya mengenai Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, beliau menyerahkan perkara itu kepada lembaga disiplin parti untuk ambil tindakan sewajarnya.

“Mereka berdua akan dipanggil untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan yang dibuat mereka.

“Jadi, biarkan sahaja lembaga disiplin menjalankan tugas dan kita akan lihat hasilnya nanti,” katanya. – 26 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.