TINDAKAN kerajaan Pakatan Harapan membekukan akaun dan harta UMNO disifatkan sebagai kejam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana, kata bekas Presiden UMNO itu berkata, tiada bukti yang menunjukkan UMNO menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lebih jelas lagi katanya, selepas setahun tindakan itu dibuat dan tiada sebarang bukti dapat dikaitkan dengan 1MDB seharusnya kerajaan memulangkan kembali akaun dan harta milik UMNO.

“Majlis Tertinggi UMNO telah membuat keputusan untuk membuat kutipan dana awam disebabkan akaun parti masih lagi dibekukan.

“Ini suatu tindakan yang kejam kerana di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen mereka tidak menyekat pembangkang daripada terus bergerak dan sepatutnya akaun dan harta milik UMNO perlu dikembalikan,” katanya.

Najib berkata sebab utama mengapa kerajaan PH enggan memulangkan kembali akaun UMNO kerana pemimpin mereka tidak mahu melihat UMNO kembali bergerak dengan bebas.

“Mereka tak nak UMNO bebas bergerak kerana bila kita ada dana kita akan dapat bantu masyarakat dan boleh bergerak lebih bebas dan lancar lagi.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan PH jelas tidak adil dalam sistem demokrasi malah dalam semua parti politik, dana politik adalah perkara biasa kenapa pula dalam kes UMNO nak disekat, nak dilucut hak harta dan sebagainya,” katanya.

Baru-baru ini, UMNO umum untuk lancar tabung kumpul dana bagi menjana kewangan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tujuan tabung tersebut diwujudkan bagi membiayai aktiviti parti yang ketika ini menghadapi kekangan kewangan akibat penyitaan serta tindakan perundangan. – 27 Julai, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.