PRESIDEN Putra, Datuk Ibrahim Ali mengalu-alukan Datuk Seri Azmin Ali untuk menyertai partinya jika beliau berhasrat meninggalkan PKR.

Bagaimanapun Ibrahim berkata, belum tentu pihaknya akan menerima kemasukan Timbalan Presiden PKR itu.

Malah Ibrahim berkata, beliau yakin Azmin tidak akan meninggalkan parti PKR.

“Dia (Azmin) boleh mohon (menyertai Putra), tapi belum tentu kita terima.

“Tapi, saya percaya dia tidak akan tinggalkan PKR. Dia akan berhempas pulas dalam PKR,” katanya.

Baru-baru ini, tercetus khabar angin kononnya, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi akan meninggalkan PKR dengan menyertai Gerakan.

Mengulas khabar angin itu, Gerakan menyambut baik dan membuka pintu kepada pemimpin PKR itu jika benar mahu menyertai bekas parti komponen BN itu.

Namun Setiausaha Politik kepada Azmin, Hilman Idham dilaporkan menafikan khabar angin berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu fitnah.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin juga berkongsi pandangan sama semalam, berkata Azmin “tidak akan angkat kaki” meninggalkan parti yang diasaskannya bersama 20 tahun yang lalu. – 27 Julai, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.