KEPINCANGAN Pakatan Harapan makin ketara apabila dua pemimpin India pula bertelagah mengenai peruntukan RM100 juta di bawah Unit Transformasi Masyarakat India yang dijenamakan sebagai Mitra.

Pertelagahan itu berlaku antara Menteri Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy.

Terbaharu, Ramasamy kelihatan kecewa dengan jawapan Waytha yang memberitahu media bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu boleh pada bila-bila masa sahaja mengangkat telefon dan menghubunginya untuk mengetahui tentang peruntukan itu.

Sebelum itu, Waytha memberi peringatan kepada Ramasamy untuk sentiasa beringat mereka berdua bekerja di bawah kerajaan yang sama dan tidak sepatutnya menuduh beliau tidak telus secara tebuka.

“Saya fikir kami (Mitra) adalah satu-satunya unit yang sebenarnya memaparkan siapa yang menerima apa dan berapa banyak di terima di laman web kami. Saya tidak fikir kamu akan menemuinya dalam mana-mana kementerian lain. Jadi hendak saya telus macam mana lagi?

Kemudiannya, Ramasamy menerusi Facebooknya berkata, dana yang beliau sebutkan itu bukanlah isu peribadi yang memerlukan beliau mengangkat telefon menghubungi Waytha sebaliknya ia tanggungjawab menteri untuk menjawab kepada masyarakat India.

“Peruntukan sebanyak RM100 juta itu bukan isu peribadi antara saya dan Waytha sebaliknya perkara berkaitan dengan komuniti India di negara ini.

“Saya bercakap tentang isu dengan terbuka kerana mahu mengetahui siapakah yang menerima wang itu, organisasi mana dan adakah pemberian itu sebenarnya disalurkan kepada kumpulan yang sasar untuk peningkatan taraf masyarakat India.

“Ini bukan soal saya membuat panggilan telefon secara peribadi kepadanya, sebenarnya dengan memberi cadangan sedemikian oleh beliau menunjukkan bagaimana Waytha ‘buta’ dengan tuntutan komuniti ini,” katanya

Ramasamy turut mempersoalkan Waytha mengenai peruntukan RM100 juta kepada masyarakat India yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 lalu.

Selain itu, Ramasamy yang pemimpin DAP itu mengkritik Waytha kerana tidak hadir mesyuarat Majlis Wakil Rakyat India Pakatan Harapan (EIRCPH) bagi memberi penjelasan berhubung peruntukan tersebut.

“Waytha enggan hadir mesyuarat ini menunjukkan beliau tidak berminat mengemukakan maklumat penuh tentang bagaimana dana itu dibelanjakan atau beliau beranggapan dirinya lebih mulia dan tidak perlu hadir pertemuan yang dianjurkan oleh majlis berkenaan,” dakwa Ramasamy.

Ramasamy juga mendakwa dana tersebut telah disalurkan kepada individu dan organisasi yang yang tidak mengikut objektif asal memperbaiki kehidupan masyarakat India dan tidak telus. – 27 Julai, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.