NAIB Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan tindakan terhadap Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani adalah suatu tindakan terdesak.

Kontrak perkhidmatan Rahimin sepatutnya berakhir pada 31 Disember tetapi ditamatkan lebih awal iaitu 31 Ogos ini.

Namun, menurut Afnan sepatutnya pihak JAIM memanggil Rahimin untuk dilakukan siasatan dan memberi peluang kepadanya membela diri.

“Apabila kakitangan kerajaan bertindak sebegitu berani menunjukkan dia seorang berprinsip. Dia tidak dapat menerima tindakan Wan Ji Wan Hussin yang menghina institusi raja-raja.”

“Sepatutnya sebelum tindakan menamatkan kontrak lebih awal, ada prosedur yang patut diikuti. Yang dilakukan ini suatu tindakan terdesak dan penganiayaan,” kata Afnan.

Menurut Afnan, sebagai pegawai yang ditugaskan memelihara institusi jabatan agama, jadi, Rahimin bertindak atas kapasiti itu.

Dalam konteks Malaysia, jabatan agama ini ketuanya ialah sultan. Jadi apabila menerima orang yang menghina sultan bermakna menghina institusi agama itu sendiri.

Wan Ji dihukum penjara setahun bermula 9 Julai lalu selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara.

Wan Ji didakwa pada 10 September 2014, kerana menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook miliknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu 5 November 2012. – 27 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.