UMNO nampaknya sedia menyertai gabungan yang diterajui Tun Mahathir Mohamad.

Namun ada tiga syarat yang ditetapkan UMNO jika mahu perkara itu direalisasikan.

Tiga syarat itu sudah dinyatakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid kepada wakil Bersatu baru-baru ini.

Pertama, UMNO menolak DAP sebagai rakan politik.

Kedua, bawa PAS bersama dalam gabungan itu dan ketiga tidak membubarkan UMNO.

Zahid juga bertegas bahawa UMNO tidak akan sesekali tinggalkan PAS yang kini menjadi rakan politik parti.

Malah beliau mahu agar tiada lagi pujukan agar orang UMNO sertai Bersatu dan akhirnya mahu bubarkan UMNO.

Ahmad Zahid berkata, UMNO turut menyatakan pendirian menolak sebarang kerjasama politik dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selagi DAP menjadi rakan kongsi politik PH.

“Ini kehendak akar umbi, saya perlu pertahankan selaku Presiden. Ketika saya bertanding Ketua Pemuda UMNO, semua orang cakap Anwar yang suruh bertanding padahal beliau yang larang, bila saya menang, dia akui dia yang suruh, inilah perangai sebenar Anwar,” katanya.

Menurutnya, gabungan penyatuan ummah UMNO-PAS sebenarnya digeruni PH terutama DAP, kerana kuasa majoriti Melayu semakin kukuh.

“Ditambah pula, selepas Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang membenarkan umur 18 tahun mengundi, sebelum ini kita mempunyai 62 peratus pengundi orang Islam dan dicampur dengan usia 18 tahun, menjadi 68 peratus pengundi. Jika termasuk Bumiputera, menjadi 72 peratus,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, itu sebabnya DAP mahu memberikan sokongan kepada Tun Mahathir dan kini beralih pula kepada menyokong Anwar.

“Umur Tun Mahathir dah Isyak nak masuk tahajud dah, jadi mereka bergantung pula pada Anwar yang banyak terhutang budi pada DAP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur pemimpin dan ahli yang terlalu meraikan perbezaan pendapat sehingga menimbulkan perpecahan atau kabilah dalam parti.

“Kita ibarat rumah yang terbakar, hanya ada tiang seri yang masih kuat, jadi marilah kita sama-sama bina rumah baharu, pertahankan perpaduan dalam parti dan cari titik persamaan bukan perbezaan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan ahli UMNO kurang menunjukkan sikap kesetiaan kepada pemimpin, berbanding Pas yang sentiasa wala’ (setia) terhadap pemimpin mereka.

“Dalam PAS ada wala’, dalam UMNO kurang. Tanpa wala’ terhadap pemimpin, bila hendak berjaya ambil semula kerajaan?

“Kita akan adakan tahaluf siyasi bersama PAS, akan jadi besan UMNO, kita tak mahu PAS lari kalau tengok kita ‘cempera’, sudah tentu PAS mencari ‘keluarga’ yang bersatu hati,” katanya.

Menurutnya, disebabkan itu ada suara sumbang mempertikai kehadirannya kembali terajui UMNO selepas bercuti pada Disember 2018.

“Saya tak cakap nak berhenti, saya hanya sebut beri kepercayaan kepada Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk galas tugas sebagai Presiden. Hak saya untuk kembali sebab saya dipilih secara demokratik dalam pemilihan UMNO,” katanya.
– 27 Julai, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.