MENGAPA Exco DAP Perak Paul Yong belum didakwa di mahkamah berikutan dakwaan merogol pembantu rumahnya, soal Pemuda UMNO.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara pada 23 Julai lalu.

Beliau turut membandingkan kes tersebut dengan dakwaan cabul membabitkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Melaka, Ma’on @ Yunus Abu Samah yang sudah pun dibawa ke mahkamah.

“Kami hairan mengapa Paul Yong belum dihadapkan ke mahkamah sedangkan kes ini berlaku pada 7 Julai, lebih awal daripada kes cabul Ma’on yang berlaku pada 15 Julai.

“Jika Ma’on, yang kesnya lebih ringan dan lewat, tetapi direman empat hari berbanding Paul Yong yang tidak direman, telah didakwa beberapa hari lalu, mengapa pula Paul Yong masih belum didakwa?

“Apakah kerana dia seorang pemimpin DAP dan exco kerajaan negeri, manakala Ma’on rakyat biasa dan hanya pengerusi MPKK?” soalnya dalam kenyataan.

Yong yang juga ADUN DAP Tronoh menafikan tuduhan tersebut dan berkata terkejut dan keliru dengan dakwaan itu.

Dia hanya ditahan seketika oleh polis untuk bantu siasatan pada 9 Julai lalu, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam pada itu, Asyraf berkata kes tersebut perlu disegerakan kerana mendapat perhatian negara luar terutama Indonesia – negara asal pembantu rumah itu sendiri.

Beliau juga berharap kerajaan mengambil langkah untuk memastikan pekerja migran dari republik itu dilindungi dengan sewajarnya.

“Justeru pemuda Umno menggesa Peguam Negara Tommy Thomas agar tidak melengahkan pendakwaan kes ini bagi memastikan imej perundangan negara terjaga,” katanya lagi. – 27 Julai, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.