DATUK Seri Najib Razak diharap tidak ‘geli’ dengan pihak yang cuba mengambil peluang terhadap populariti bekas perdana menteri itu yang kian meningkat, kata Datuk Fathul Bari Mat Jahya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ramai ahli dan pemimpin parti itu meninggalkan parti, dan ada juga yang letak jawatan serta tidak bertanding dalam pemilihan.

Namun katanya, apabila momentum UMNO kembali naik, golongan ‘opportunist’ (mengambil peluang) ini tiba-tiba kembali untuk bertanding.

“Di saat parti lemah, mereka tinggalkan. Tetapi di saat parti naik, kamu kembali pula.

“Masa lepas PRU, dia (Najib) dia ditinggalkan seorang diri. Tiada siapa bagi sokongan moral. Jadi ini tidak bagus,” katanya pada program bual bicara Nothing To Hide baru-baru ini.

Fathul menasihati Najib agar memberi perhatian terhadap golongan yang tiba-tiba muncul memberi sokongan kepadanya.

“Saya harap Datuk Seri Najib jangan ‘geli’ dengan orang macam ini.

“Sikap seperti ini (oppoturnist) harus diberi perhatian.

“Saya tak kata kita tak perlu sokongan mereka. Kita perlu semua sokongan ahli, tetapi parti perlu buat satu tindakan yang tegas, dengan opportunist ini,” katanya.

Mengulas mengenai ura-ura bahawa Najib akan menjadi Perdana Menteri semula, Fathul berkata, UMNO tidak pernah memutuskan apa-apa keputusan tentang soal itu.

Jelasnya, soal pengikut dan sokongan yang ditunjukkan dalam media sosial tidak boleh dijadikan pengukur bahawa Najib boleh kembali menjadi Perdana Menteri.

“Soal perbincangan dalam media sosial adalah bab kedua.

“PAS juga tidak pernah bercakap soal itu.

“Bagi saya, pada hari ini, isu ini begitu sensitif diwacanakan dan boleh menynetuh sensitiviti orang lain,” katanya. – 28 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.