Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berang.

Ketua Menteri Sabah itu telah membuat kenyataan media bahawa Kerajaan Persekutuan membelakangkan hasrat dan permintaan kerajaan Warisan apabila melantik Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu.

Perlantikan itu dibuat tanpa memaklumkan kepada beliau dan kerajaan negeri Sabah.

Menurut Shafie, walaupun kuasa pelantikan terletak di tangan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, namun pandangan kerajaan negeri sepatutnya diambil kira terlebih dahulu.

“Saya tidak dimaklumkan. Mereka telah memutuskan tanpa pemakluman daripada pihak universiti kepada Canselor iaitu Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mahupun saya sebagai Ketua Menteri.

“Kita maklum mereka sudah war-warkan perkara ini, namun saya telah maklumkan kepada menteri kalau ada perubahan kita kemukakan nama, malangnya dia buat keputusan sendiri,” katanya.

Walau bagaimana pun, Shafie akur dengan keputusan tersebut kerana ia telah diputuskan.

“Dia (Dr Maszlee) sudah memutuskan memang hak dia untuk lantik, saya setuju atau tidak setuju macam mana sebab sudah diputuskan oleh kementerian,” katanya.

November tahun lalu, Mazlee menggunakan ‘kuasa besarnya’ mengarahkan pembatalan kuasa Lembaga Perolehan Persekutuan Sabah dan Sarawak bagi projek perolehan bekalan dan perkhidmatan.

Lapor sebuah blog rakyat di Sabah, pembatalan perwakilan kuasa untuk Sabah dan Sarawak ini adalah satu usaha Maszlee untuk memonopoli perolehan tender bekalan perkhidmatan seperti bekalan makanan bermasak, pengawal keselamatan dan lain-lain.– NTHQiBORD, 28 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.