DUA lagi komplot Joanna Yu, Nik Faisal Ariff Kamil dan Jho Low didedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam perbicaraan hari ke-44 kes penyelewengan dana SRC International.

Joanna merupakan saksi ke-54 kes perbicaraan SRC International yang melibatkan bekas Datuk Seri Najib Razak.

Komplot pertama terdedah apabila Joanna, pegawai perhubungan AmBank mengaku beliau menerima arahan daripada Jho Low untuk memusnahkan cek dan penyata kewangan akaun Najib yang berakhir dengan nombor 694.

Akaun itu sebelum ini digunakan untuk menerima wang derma dari Arab Saudi.

Bagaimanapun, Joanna berkata, beliau tidak berbuat demikian kerana tindakan memusnahkan buku cek melanggar prosedur operasi standard (SOP) pihak perbankan.

Beliau juga mengaku tidak tahu sebab Jho Low mengarahkannya untuk membakar kesemua dokumen tersebut.

Tindakannya tidak membakar dokumen itu bagaimanapun tidak diketahui oleh Jho Low.

Komplot kedua melibatkan Joanna dengan Nik Faisal yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International.

Berdasarkan keterangannya kepada mahkamah, Joanna mengaku bertanggungjawab untuk menyediakan dokumen arahan bagi pemindahan wang akaun Najib mengikut arahan Nik Faisal.

Joanna sepatutnya tidak boleh menyediakan dokumen tersebut kerana ia melangkaui tugasnya sebagai pegawai pengantara antara pihak bank dan klien.

Sebaik sahaja Joanna menyediakan dokumen pemindahan wang itu, ia kemudiannya diserah kepada Nik Faisal untuk ditandatangan. – NTHQiBord, 29 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.